Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia – Penguasaan asas kemahiran
berbahasa diperkukuh melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan
holistik menerusi modul P&P.
Asas Berbahasa (Basics To Basics) – Pengukuhan asas
berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik. Asas berbahasa
pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis diperkukuh melalui modul P&P yang
menerapkan elemen menyeronokkan dalam seni bahasa. P&P tatabahasa adalah
berasaskan sistem bahasa yang betul dan dilakukan secara bersepadu dalam
konteks.
Didik Hibur – Pendekatan P&P Bahasa Malaysia akan menyediakan
suasana yang lebih menyeronokkan dan menarik melalui pelbagai kaedah. Kemahiran
mendengar, bertutur, membaca, menulis, tatabahasa dan seni bahasa akan disulam
dengan dengan aktiviti penerokaan, pencarian maklumat, pelaporan dan
penghasilan produk.
Penggunaan Bahasa Malaysia Standard Merentas Kurikulum – Penggunaan
sistem bahasa yang betul dalam mata pelajaran lain akan menyokong P&P
Bahasa Malaysia. Penggunaan dialek tempatan atau bahasa pasar mesti dipantau
agar tidak menjejas standard dan mutu Bahasa Malaysia itu sendiri.
Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P – Penggunaan teknologi
makluamt seperti perisian, e-mel, laman sembang dan laman web dapat menyediakan
P&P yang bersifat interaktif serta nenghiburkan. Satu portal akan
diwujudkan untuk menghimpunkan bahan penulisan serta menyediakan forum bagi
penggiat bahasa, para pendidik, sasterawan, pelajar serta pengguna Bahasa
Malaysia untuk berbincang, mengkaji dan mencari maklumat tentang Bahasa
Malaysia.
Program Bacaan – Program bacaan seperti Komponen Sastera dalam Bahasa
Malaysia (KOMSAS), Buku Sastera Sekolah Rendah, Bacaan Awal Berstruktur dan
NILAM diteruskan. Beberapa penambahbaikan akan dilakukan supaya pembacaan bahan
sastera dapat ditingkatkan.
Guru Bahasa Malaysia Berkualiti – Guru yang mengajar mata pelajaran ini
perlu beropsyen Bahasa Malaysia untuk memastikan kualiti dari segi ilmu
pedagogi. Guru digalakkan menghadiri kursus peningkatan profesionalisme yang
memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini ilmu pedagogi dan juga
perkembangan bahasa daripada pakar dari dalam dan luar negara.
Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif – Pemantauan daripada aspek
kebersihan, keceriaan dan keselamatan di sekolah dipertingkatkan dari masa ke
semasa bagi memastikan saiz kelas, serta keadaan fizikal bilik darjah dan
sekolah lebih kondusif untuk P&P.
Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi – Usaha menterjemah karya
agung dari Eropah, Amerika dan Asia perlu diperhebatkan. Melalui cara ini
perluasan ilmu melalui pembacaan dalam Bahasa Malaysia dapat dipergiat,
seterusnya menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Penggunaan
Bahasa Malaysia juga mestilah tekal dan mantap dalam semua urusan rasmi agar
hasrat 1Malaysia terlaksana melalui identiti negara bangsa.
Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara
– Satu kolaborasi yang mantap antara Malaysia dengan negara lain akan
diwujudkan dengan menubuhkan kursi Bahasa Malaysia di universiti luar negara.
Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi – Pelajar yang mengikuti
pengajian di universiti hendaklah diwajibkan mendapat kepujian dalam Bahasa
Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat masuk.
No comments:
Post a Comment